Gaji baru je masuk seminggu, tapi dah tinggal berapa kerat je lagi dalam bank. Tiap bulan macam tu lah. Biasa kan situasi macam ni? Penat juga kalau asyik kena hadap benda sama setiap bulan.

Kalau yang sabar, boleh lah hadap maggie sebagai pengganti KFC dan Mcd. Tapi kalau jenis gelojoh memang kad kredit lah jawabnya.

Sebelum jatuh terduduk, baik korang cuba benda yang saya nak kongsi ini. Cara ini mungkin nampak old school, tapi inilah yang saya buat sejak 2 tahun lepas.

Dan ianya terbukti menjadi!

Langkah 1

Mulakan dengan mengajak pasangan anda duduk bersama. Kemudian cuba bincang dan tulis semua perbelanjaan bulanan keluarga.

Boleh rujuk gambar 1 di bawah. Saya ada sertakan contoh yang saya sendiri buat.

Kenapa kena ajak pasangan. Tak boleh buat sorang-sorang?

Sebabnya, ada belanja yang suami tidak tahu dan isteri tahu. Sebagai contoh belanja barang dapur, barang mandian, belanja anak-anak dan sebagainya. Begitu juga sebaliknya, pasti ada belanja yang suami lebih arif.

Saat ini, jangan nak kelentong lagi. Kalau spend duit untuk kereta pun tulis. Beli tudung hari-hari pun tulis. Transparent antara satu sama lain.

Langkah 2

Bandingkan perbelanjaan korang dengan pendapatan yang masuk setiap bulan. Kalau korang ada elaun, side income, bonus, boleh kira sekali. Supaya duit itu tidak ke laut.

Nota: Nak mudah kira, korang boleh dapatkan template bajet digital di sini. Saya dah buat lawa-lawa bagi senang semua orang guna. Tekan-tekan terus dapat result.”

Hah sekarang macam mana gaji vs belanja? Gaji lagi besar atau belanja lagi besar?

Kalau positif, syabas dan tahniah. Sesungguhnya anda tergolong dalam golongan yang sabar. Haha

Tapi kalau negatif, sila baca sampai habis.

Langkah 3

Sila jenguk semula pada catatan di Langkah 1 tadi. Semak dan cari mana-mana belanja yang tidak perlu. Jika boleh potong, potong. Jika tak boleh, cuba kurangkan. Waktu ini, sila tepuk pipi dan sedarlah dari mimpi. Yang anda sedang menarah bukit yang tak wujud pun sebenarnya.

Langkah 4

Setiap kali gaji, simpan dulu duit siap-siap sebelum guna. Berapa amaun yang kena simpan?

JUMLAH GAJI – (KOMITMEN + BELANJA) = SIMPAN

Katakan ada bulan yang korang dapat lebihan elaun/bonus. Tempat yang sepatutnya adalah pada simpanan. Bukan pada belanja. Faham eh?

Langkah 5

Cari angpau raya tahun lepas. Then masukkan setiap amaun duit yang dah ditulis pada Langkah 1.

*1 Jenis Belanja = 1 Sampul.

Wajib tanda besar-besar. Kang takut terseluk sampul yang salah pulak. Rujuk gambar di bawah. Ini yang saya buat. Awal-awal ni, buat lah cecantik dulu. Nanti dah lama boleh lah hodoh-hodoh macam saya buat tu hahaha.

Langkah 6

Tampal kertas untuk catat “duit keluar” dari sampul. Setiap sen yang keluar wajib tulis! Lekatkan ia berdekatan dengan deretan sampul tadi. Pen jangan lupa pulak. Nanti tercari pen sampai lupa nak catat.

Langkah 7

Setiap kali next gaji masuk, sila audit dulu semua sampul. Semak sama ada baki tally atau tidak dengan catatan duit keluar masuk.

Okay soalan,

Bagaimana jika ada duit lebihan dalam angpau?

Haaa.. Yang ini korang bolehlah tambah lagi 2 tabung special. Tabung derma dan tabung travel. Atau tabung hobi. Haa baru lah ada motivasi nak menyimpan lebih. Kalau nak enjoy lebih kena lah berjimat lebih, kan? Hehe

Baiklah, itu sahaja tips old school saya. Mudah je kan? Apapun, ianya berbalik pada disiplin diri kita sendiri. Ini sekadar salah satu usaha kecil kita. Lebih dari itu, kita serah lah pada yang Maha Kaya.

Dari Facebook: Hilmi Jailani

DAPATKAN TEMPLATE BAJET POWER SEKARANG.

    2 replies to "“Sebelum Jatuh Terduduk,” Mari saya Kongsi Tips Cara ‘Oldschool’ Simpan Duit Paling Senang!"

Leave a Reply

Your email address will not be published.